Jumaat, 12 Julai 2013

Sesuatu yang ingin dikatakan tidak dapat diluahkan bersemadi diam di dalam kesenyapan yang maha sunyi tetapi menjadi gelora di lautan peribadi, maka menjelmalah ungkapan-ungkapan yang mungkin ada maknanya, ada hikmahnya...


1.Seorang telah berkata 'melupakan seseorang dengan membencinya', tapi kata hatiku 'melupakan seseorang dengan menyayanginya'.
 
2.Ukhuwah insan tak pernah luntur walaupun ada orang memandangnya kabur

3. Persahabatan itu juga terapi malangnya menjadi api kerana gagal menunjangkan akarnya iaitu kepercayaan.

4. Kehidupan di dunia jambatan antara kebatilan dan kebenaran. Kebenaran menepis sifat2 angkuh, kesumat dan sombong yang mengagungkan kelemahan fikiran.

5. Banyak berkata bisa membenihkan dosa. Kurang berkata melayarkan buruk sangka. Bersederhana perlu bijaksana.

6. Kehidupan ini merupakan perulangan-perulangan.
 
7. Putus asas bukan disebabkan tidak berusaha tetapi lantaran lebih kurang daripada itu.
 
8. Bila memandang di hadapan sesekali tolelah ke belakang, barangkali membantu dari tersalah arah.
 
9. Benamkan amarah dengan senyuman.
 
10. Jangan harap tidak sedikit pun kenangan bagi insan yang berakal.
 
11. Orang bijaksana tidak mengajar tapi terus belajar daripada kesilapan.
 
12. Ada satu hari kita memerlukan kawan sedangkan banyak hari kita memerlukan sahabat.
 
13. Mungkin hari ini tiada sesiapa mengetahui bahawa masa lalu amat berharga tetapi tidak menghargainya.
 
14. Sia-sia memikirkan masa silam sedangkan kita bermula dari situ yang menganugerahi kematangan dalam hidup.

15. Ada orang merasa penderitaan yang paling parah ialah menganggap tiada lagi hari esok.

16. Kegagalan adalah kemenangan bagi yang menyedari kesilapan dengan redha untuk bermuhasabah.

17. Diam itu uzlah.

18. Sebuah puisi sentiasa hidup dengan tanggungjawab kerana apapun juga yang ingin dipersembahkan ia bukan sekadar luahan rasa bahkan mengobjekkan sesuatu agar difahami, dimengerti, dinikmati dan akhirnya apakah sebuah makna itu memberikan 'tusukan' yang tepat. Tentu sahaja sebuah kepuasan tercerna. Puisi juga merupakan kepuasan. Meleraikan kekusutan. Juga, sebuah terapi yang memberikan nikmat.
 
19. Masa lalu menjadi pedoman yang tidak diingkari sebagai pemuka ke arah perjalanan yang lebih indah dan bahagia. Keindahan dan Kebahagaiaan yang hakiki.
 
20. Lazimnya kehidupan tidak mungkin segalanya putih bersih dan tidak semuanya pula hitam merugikan.
 
21. Jika ada yang bertanya, tentulah dunia ini begitu misteri dan kehidupan di dalamnya cukup rahsia. Tiada siapa yang sunyi daripada mengharungi kemisterian dan kerahsaiaan kehidupan dunia fana ini. Hanya Dia sahaja Yang Maha Tahu.
 
22. Kenangan adalah kelmarin yang hidup hari ini.
 
23. Pengalaman tidak akan didewasakan oleh peristiwa yang serupa, tetapi apabila hal-hal yang serupa menjadi hambatan menyebabkan sesuatu itu menjadi gunting, sewajarnya kita membetulkan kesilapan itu agar 'gunting' tidak terus bersembunyi di dalam lipatan.
 
24. Bintang itu bukan datang dari angkasa, ia datang dari 'langit' yang lebih luas dan 'kuasa' yang diberi tidak kepada ramai orang. Namun tanpa usaha yang gigih kita tidak mungkin menerima apa-apa.
 
25. Kataku kepada Jair Sulai - apabila kita tidak menemukan satu jalan biasa, carilah jalan lain meski berliku yang akhirnya akan sampai juga di destinasi yang sama.
 
26. Hanya kanak-kanak memahami dunia kanak-kanak.
 
27. Jika mahu dinilai hebat bagaimana suatu waktu dipandang rendah.

28.Bersuara 'besar' memberi suatu kelebihan kepada seseorang tetapi sentiasa mendekatkannya kepada kutukan.

29. Kita sentiasa menikmati malam apabila melalui siang yang meriuhkan.
30. Tidak ramai orang mampu menikmati cahaya bulan jika kehadiran objek itu dianggap sebagai lumrah semata-mata.

 
31. Sekarang bukan masanya membebel tentang kebebalan di masa sudah.
 
32. Bagaimana sesekali memahami tentang kebodohan diri sendiri sebelum memperbodohkan orang lain.
 
33. Tidak mengapa, kerana tidak lagi ada alasan lain, kehilangan telah terjadi, kehidupan perlu diteruskan.
 
34. Memadam kesedihan itu mustahil walau dengan jarak waktu yang lama.
 
35. Tak perlu membohongi rasa hati walaupun sedikit.
 
36. Kehidupan ini dibesarkan oleh kesedihan dan kegembiraan. Bila sedih kita lupa kegembiraan, bila gembira kita lupa kesedihan padahal kedua-duanya datang beriringan, kedua-duanya menyebabkan kehidupan itu murni dan amat bererti. .
 
37. Setiap individu mengalami babak-babak yang amat gembira dan juga babak-babak yang amat memilukan hati. Dengan itu juga kehidupan lebih hebat, mendewasakannya dan mematangkan. Saat gembira kita tidak harus terlalu gembira kerana saat bersedih kita telah melupakannya.
 
38. Berkongsi kesedihan dan kegembiraan menjadikan kita saling akrab sesama insan yang memahami bahawa kehidupan adalah perjuangan.
 
39. Daun-daun kering yang gugur ke bumi tidak berasal dari mana-mana tetapi kembali ke tempat asalnya.
 
40. Ketika hari-hari berlalu, apakah yang dapat kita pelajari daripadanya selain peristiwa yang tidak semuanya berada dalam ingatan kecuali yang benar-benar hidup walaupun telah berlalu ribuan saat yang lalu.
 
41. Cinta yang jernih bersumber dari cahaya cinta yang hakiki, mujarad, ghaib, misteri... menghidu harum yang bersumber cinta, akrab yang abadi, lebur yang menyatu.
 
42. Inilah diam berkias rahsia, tetap juga berwajah ranum perjalanan, demi cahaya yang menNurkan, senyapku adalah riuh yang bungkam, tak siapa mampu mentafsir tanpa cahaya di jiwa.
 
43. Bacalah sesuatu kepada yang lebih mengakrabi. Yang lebih tahu. Yang lebih memahami iaitu 'aku' dan 'Aku'. Lebihkan 'Aku' daripada 'aku'.
 
44. Tugasku hanya menterjemah gerak daun yang bergantung di ranting yang letih. Rahsia mengimpikan kata yang terucap di puncak sepi. Ketika daun jatuh tak ada titik darah.
 
45. Menyinta adalah suatu perenungan.

46. Kehidupan ini kadang-kadang cermin tapi juga perulangan demi perulangan.

47. Memang tidak mudah memahami kehidupan ini, misteri dan mistik. Sukar meramal dan diramal. Kita pun cuma hamba-Nya yang kurang dalam kesempurnaanya Dia.

48. Hanya malam mendengar gerimis yang menikam dan derap langkah yang tak berbunyi.

49. Tenunlah benang mahabahmu agar menjadi persalinan kehidupan yang indah menjadi selembut sutera persemadiannya.

50. Rindu adalah diksi yang mengungkapkan penjelmaan bulan. Tak hanya menikmati terang cahaya tapi juga betapa jamil-Nya Dia.

51. Mengingati seseorang bukan suatu beban kerana ia hidup bersama kehidupannya.

52. Lebih baik mengingati seseorang yang mengingati kita daripada ramai orang yang mungkin lupa walaupun kita mengingati mereka. Mengingati itu suatu doa bukan dosa. Dan ketetapan itu ditentukan Ilahi kerana hanya Dia yang berhak memberikan rahmat kepada hamba-hamba-Nya.

53. Apabila pada satu ketika berhadapan dengan sesiapa juga yang menyebabkan kemarahan maha dahsyat jangan sampai meluahkan bahang kemarahan yang keterlaluan terhadapnya yang akhirnya menjadi penyebab mendapat natijah yang memalukan satu ketika akan datang.


54. Barangkali kita pernah atau sering bertanya tentang sesuatu yang umum sifatnya kepada orang lain tetapi apakah kita juga bertanya kepada diri sendiri tentang hal yang sama dan mendapatkan jawapannya?

55. Barangkali ada satu ketika kita akan menyesal kerana terlupa mengingati saat keramat telah sampai dan membiarkan sahaja daun-daun gugur dibawa angin musim di sebalik gunungganang yang jauh. Rupanya memang benar saat itu hanyalah detik yang amat pantas, tidak terlintas di mata sesiapa akan berlaku peristiwa gugurnya helaian demi helaian daun musim sudah. Kenangan juga bukan bererti segala-galanya tertumpu pada sebuah titik walaupun lebur kehidupan menghormati betapa kehadiran sentiasa segar bertakhta dalam segala suasana. Mungkin penyesalan lebih dirasai satu saat kita menemukan ada daripada ada yang telah tiada...

56. Setiap peristiwa meninggalkan kenangan dan peristiwa itu menjadi ingatan pada peristiwa yang serupa dengan suasana yang berbeza. Betapa mahalnya sebuah kenangan yang membuat kita merasa kehidupan amat bermakna.

57. Setiap detik yang berlalu menjadi masa lalu, seperti saat berfikir dan mencatat hal ini kini dan sebelum titiknya bertemu. Waima selepas itu juga detik waktu tak pernah kompromi untuk menunggu.

58. Jangan toleh ke belakang. Itu hanya sejarah. Peristiwa yang berulang satu kesilapan apabila ia tidak dibetulkan. Jika mahu, mulakan sekarang tetapi jangan saling mempersalahkan. Mari gembelengkan bibit fikir agar tercambah bunga harapan memberi aroma kehidupan yang sedang diteruskan

59. Luka menyebabkan seseorang laku kerana pengalamannya itu. .

 
60. Satu Kebaikan perlu dimulakan berkali-kali. .
 
61. Ketika senja menjelma kucari sebuah pagi kerana ada di situ janji...
 
62. Jangan minta dihormat jika kurang berkata cermat. Jangan berasa begitu diperendah tetapi selalu peraga diri tinggi menggalah. Dengan ilmu fikiran bermutu. Dengan pengalaman kehidupan budiman. Dengan akal jadilah intelektual.

63. Perjalanan hidup tidak pernah rata. Apabila inginkan yang tinggi sentiasa sahaja ada yang mahu meruntuhkannya.

64. Biarlah setiap kata menerbitkan makna yang tidak sia-sia

65. Merasa benar itu patut, tapi patutkah meletakkan segalanya negatif belaka apabila merasa pandangan kita selalu benar?

66. "Mereka-mereka...." sering diucapkan orang yang fasih berbahasa Melayu tetapi jahil terhadap betul dan salahnya. Apakah kamu fikir Bahasa Melayu boleh redah begitu sahaja?

67. Fitnah secara umumnya pencetus sengketa, ia sering membabitkan tuduhan tanpa bukti, prasangka tanpa asas dan persepsi yang tidak benar. Perbuatan fitnah sering dikaitkan dengan rasa dendam kesumat atau rasa tidak puas hati dan parahnya Penyakit Hasad Dengki (PHD) yang tidak memberikan apa-apa faedah melainkan dosa semata-mata selain kehilangan sahabat taulan dan tersisih dalam kehidupan yang bahagia.

68. Maaf bukan pelengkap ungkap bila calar menembusi kalbu, akal wajar dilingkar cahaya memandangnya dengan jelas ikhlas, tak perlu diucap apabila ditemui liang benarnya walaupun sekadar titik di dalam titik...

69. Pembangunan tidak bermakna kerana mengabaikan kemanusiaan. Sejauh mana benarnya barangkali boleh membawa kepada persoalan kemanusiaan tanpa pembangunan jadi bagaimana pula. Pasti ada pro dan kontra pada hal kehidupan manusia sentiasa berhadapan dengan isu-isu keperluan serta kepenggunaan yang menyebabkan pembangunan berjalan seiring.

70. Mereka-mereka.... sering diucapkan orang yang fasih berbahasa Melayu tetapi jahil terhadap betul dan salahnya. Apakah kamu fikir Bahasa Melayu boleh redah begitu sahaja?

71. Anda mungkin pernah mendengar orang berkata: maaf, saya sebenarnya tidak bersedia.... atau maafkan saya kerana saya ni baru dalam bidang ini... ataupun maafkan saya kerana jadi bidan terjun dan sebagainya sebagai mukadimah ketika berdiri di hadapan hadirin. 

72. Berjumpa berbagai jenis orang bukan halangan tetapi kepelbagaian orang itu sering membuatku berfikir apabila ada kegemarannya membuat pekong di dada lalu mengoyakkan bajunya!

73. Penulis punya peranan besar tetapi bila peranannya sering patuh kepada gelombang arus perdana politik, pengarang menjadi jumud, tidak bebas dan dikatakan tidak mengikut arus. Bahasa Kebangsaan harus berkembang mengikut acuan yang jelas bukan dibodohkan demi ujaran slogan yang membuang masa dan wang kerana akhirnya itu-itu juga berbunyi, berulang bersama slogan-slogan yang tak pernah memecahkan persoalan.

74. Ada hari kita begitu diingati tetapi banyak hari kita akan dilupakan, seperti banyaknya kita melakukan kebaikan akan luput walaupun dengan kesilapan yang kecil.

75. Ketika malam-malam berlabuh, merasa perjalanan kian singkat kerana esok hanya sebuah siang yang sangat setia mencatat peristiwa.

76. Sebaiknya memandang cermin wajah sendiri berbanding memberikan orang lain cermin dan melakukan ulasan rambang.

77. Bila ikut memilih api, samalah kita dimamah amarah api. Pilihlah tempat yang tinggi sentiasa selamat kita akhirnya, kerana yang tinggi itu lebih dekat kepada makna ketinggian budi yang disukai Allah SWT. Hidup kita bukan untuk kelmarin, hari ini atau esok semata-mata tetapi kehidupan yang lain nanti.

78. Apakah kemerdekaan itu bagai burung-burung yang dilepaskan dari sangkarnya, memandang alam seluruhnya, bersenandung di angkasa, kemudian kembali? aku percaya bukan itu, kerana kemerdekaan harus luhur secara batin dan lahiriah, diungkapkan dengan sedar tentang cinta yang tidak pernah luntur tanpa batas waktu.

79. Apabila cepat menggelabah, cepat panik, cepat pula bersangka-sangka seterus membuat kesimpulan yang belum jelas benar tidaknya, tahulah natijah yang bakal dihadapi.

80. Bila gelap kehilangan terang begitu merimaskan, bila terang kehilangan gelap sering dilupakan.

81. Orang bertambah hormat apabila masa tuanya tidak lagi memikirkan tentang wang tetapi lebih daripada itu iaitu hutangnya pada Tuhan.

82. Kepada orang tua, dengarlah ilmunya, bacalah langkah bijaknya, telusuri sahsiah budinya, amati budi bicaranya. Hormati bila dia masih mendengar dan lupa jasa-jasanya.

83. Kalau mahu hasil yang baik, buat perancangan dan teliti hasilnya. Hasil yang asal jadi menyebabkan wang mengalir bersama kekosongan.

84. Persahabatan itu ikatan bahkan kolam ingatan.

85. Bila dah selalu kau akan hadapi dua keadaan - biasa yang berbisa atau biasa yang basi.

86. Gegar kata kutiup menjadi makna, kalau diambil bagus menjadi buah fikir, kalau diambil payah jangan simpan dalam hati. ibarat orang tahu diri, duduknya bersila, bercakap berlapik makna, memandang bersuara maksud.

87.Apakah yang anda faham tentang dosa? Katamu, dosa ialah apabila dosa menyebabkan saya menang!

88. Kebenaran datang tanpa dipinta apabila ikhlas dan berjiwa benar!

89. Menyenangkan hati kawan lebih biasa daripada memenangkan hatinya kerana kita lebih berani memuji berbanding menguji kejujuran diri dan membiarkan kegembiraan mereka berlangsung walaupun kita tahu ia bersifat sementara.

90. Belajar untuk menolak undangan dan berkata tidak. Lebih baik begitu, ada masanya profesionalisme mengatasi popularisme.

 
91. Masa lalu itu ibarat sungai, kita asyik memandang alirannya, sebenarnya semua yang lalu itu telah larut di permukaan laut. Barangkali, momen yang penting ialah saat ini dan seterusnya, untuk muhasabah dan muraqabah.
 
92. Kita memugar bukan memagar!

93. Mereka bertepuk bukan bermakna gembira, jika kau memahami gejolak jiwa orang lain yang lebih gembira memilih angguk kerana mereka itu memang pengangguk yang tegar!

94. Memandang sesuatu sama ada dengan mata yang baik atau tidak, bukan ukurannya, tetapi pandangan yang luhur dan jujur diukur dari mata hati. Tuhan Maha Tahu.
dorong. Mengapa mungkin, kerana kejujuran sukar diukur dengan hanya kata-kata indah. Sebenarnya keindahan kecemerlangan itu ada pada mata batin orang lain yang lebih jujur mengukur bukan atas dasar jaga rasa tetapi jaga benar.


100. Ketika di hadapan cermin apa yang selalu kita perhatikan? Rambut yang sudah berwarna atau kulit muka yang kerdut atau pandangan yang hilang. Syukurlah jika saat merapi diri itulah yang diberikan tumpuan kerana dari situ kita harus sedar kita bukan sesiapa lagi kecuali sebuah pinjaman yang akan hilang. Kerana itu juga mengapa harus berbangga diri?

101. Apakah kita berfikir bahawa kitalah yang terbaik? Tentu tidak. Tetapi muhasabah diri wajar dilakukan kerana kekurangan kita ada di mana-mana tanpa disedari. Malah yang terbaik mengatakan keterbaikan bukan kita sendiri.

102. Apabila bercakap tentang kecemerlangan diri sudah pasti kejujuranlah yang mungkin menjadi penasihkah letak diri pada tempatnya yang biasa namun tetap juga berbisa. 

103. Orang yang terkenal juga sering melupai saat hidup sederhana. Saat terkenal dia lupa bahawa itu hanyalah sebahagain kecil anugerah yang diberikan Tuhan kepadanya. Kadang hal ini menyebabkannya tamak dan rakus, enggan berasa puas dan sering mengelabui mata orang lain dengan kelebihan yang dia miliki. Seorang yang hipokrit tidak pernah malu untuk meletakkan maruah diri di mana-mana waima berlakon untuk meraih sesuatu yang menguntungkannya dan mencapai hasrat fikirannya. Sederhana bukan pakaiannya. Bukan pilihannya. Meraih segala kemampuan harta memang sulit. Tapi lebih sulit lagi mengendalikannya menjadi tampil secara sederhana. Kerana nafsu memang tidak pernah berhenti mengalir ke segala arah. 

104. Setelah menjadi terkenal kadang terlupa ia hanya suatu kelebihan yang sedikit berbanding yang lain. Kelebihan begitu tidak seharusnya menolak diri ke tingkat angkuh dan rakus. M

105. Kesederhanaan itu senjata untuk berjaya. Bukan akur kepada keadaan tetapi inilah jalan yang indah bagi pejuang yang sabar.

106. Ingatan kita bersama. Bersederhanalah biarpun di saat punya kuasa atau di saat biasa-biasa. Kuasa yang diberi kepada yang berhak merupakan suatu amanah. Cermin diri kembali apa yang telah dilakukan ketika amanah yang digalas itu dilaksanakan. Apakah wujud wajah sombong dan angkuh itu? Kita manusia bukan haiwan yang sirna perasaan. Kesombongan dan keangkuhan tidak membawa kita ke mana-mana malah membuka jalan dendam dan kebencian. Beberapa hari yang lalu mungkin telah merenggangkan kita sebagai manusia meski sekampung atau senegara. Namun hari ini dan seterusnya kita masih punya negara yang bermaruah, makmur dan damai. Semoga kita bijaksana dalam memberi dan menerima.

107. Saya sering mengingatkan diri sendiri bahawa kesempurnaan jarang ada tetapi jalan ke arahnya terbentang luas asalkan minda kita juga ikut terbuka luas.

108. Sebagai penulis yang telah menempa nama bertahun-tahun berkarya puluhan buku diterbitkan seharus mampu melahirkan karya yang lebih hebat. Mengapa ya penulis yang begitu ternama masih berbicara tentang rajuk dan kurang bertenaga menzahirkan diksi yang mencabar baru bernas dan lari daripada kebiasaan

109. Kerana mahu kekal dikenali, dia memilih jalan yang lain. Kerana mahu selalu dihormati, dia sanggup menjadi duri. Kerana mahu sentiasa disanjung tinggi, dia siap memilih api. Dengan jalan yang lain dia membuka baju dan mengibarkan bendera baru. Meski duri dia selesa mencuri hati orang-orang yang keliru. Di mulut api dia ekor yang mentafsir dunianya akan hancur kecuali membakar sekam dari dalam. Dia memang pandai memberi madu dan jadam. Dia pintar memutar benar memudar onar. Berdiri di arena menjual kalimat ubah dan baru di tengah orang-orang yang keliru. Mereka menyahut ya, ya, ubah ayuh ubah! Sedang jalan yang baru tiada di mata, mahu diubah apa, mahunya apa jika bukan tempatnya! Dia adalah dia yang sentiasa mengimpi jalan selesa. Dia adalah dia yang lazim menzalimi pekerti. Dia adalah dia yang meluap lupanya demi sebuah mimpi dan janji.

110. Apabila perasaan benci menguasai, semua situasi dipandang kelam dan sirna rasional akal. Kebaikan dientengkan keburukan pula diwangikan. Satu ketika akal harus difitrahkan. Kembali murnikan minda. Pulang ke madarasah asal dan dapatkan ketenangan kebenaran.

111. Bosan membaca politik dan polemik. Semoga kamu berbahagia diberi otak untuk merasionalkan bukan meradikalkan fikiran.

112. Hari Puisi Nasional' sifatnya 1 negara, bukan 'Hari Puisi Sabah' tapi nak dapatkan sokongan dana bukan mudah.Terpaksa bekerja keras.Memerlukan komitmen yang tinggi.Namun tinggi bagaimanapun, yang bakal terjadi nanti tentulah tidak mencapai apa yang diharapkan.Sedih juga sesetengah jabatan yang mempunyai kaitan dengan KESENIAN enggan membantu.Cakap saja bukan main hebat, bila sampai masanya berbagai alasan diberi.


113. Facebook tempat berjabat salam untuk saling kenal mengenali, mengakrabi tali silaturrahim, saling mengkhabarkan, juga tempat menyalin ilmu, menyuara pandangan, mengiktibar peristiwa, berkongsi masalalu. Itu jika digunakan sebaiknya, alhamdulillah. Kita juga telah membaca lewat tag biasanya,catatan-catatan yang kurang berguna apabila memang disalahguna.

114. Biarlah setiap kata menerbitkan makna yang tidak sia-sia.

115. Dengan menyalakan lilin orang lain, lilin kita tidak akan padam, malah akan mendapat lebih cahaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan